CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Karya

Cinta... Adakah Ia..

Waktu kita bertemu ku tahu kau mencari bahagia
Hasrat cintamu kini impian ku
Apa kisah menentang arah
Andai menanti kita setia cinta
(setia itu memuliakan cinta)

Waktu surut kian menghampiri
Fitrah alam adakah daya merubahnya
Bila kelam semakin kelam
Yang jelas kau kaburkan
Buat ku keliru bertambah ragu

Begitu banyak yang terindah
Kau memilih keindahan sementara
Meminta bukti cinta sebagai sandaran
Cinta adakah ia…

Yang tidak nampak itu bukan tiada
Hembusan angin terasa dinginnya
Walau tidak kelihatan
Memadai kita sama tahu
Kehadiran bayu menenangkan jiwa

Cinta usah ada pertentangan
Cukup kita mengerti cinta punya cabaran
Dan cabaran itu bersifat sementara
Yang kita tempuh ini bilakah sudahnya

Hanya yang ku pasti
Sesudah ku temui cinta
Sayang tetap ia bukan milikku

01 Ogos 2005
hak cipta terpelihara Nidzam Samsuri

DOA CINTA ABADI

SEANDAINYA TELAH KAU CATATKAN
DIA MILIKKU TERCIPTA BUATKU
DEKATKANLAH DIA PADAKU
SATUKANLAH HATINYA DENGAN HATIKU
TITIPKANLAH KEMESRAAN DIANTARA KAMI
AGAR KEBAHAGIAAN ITU ABADI

DAN TUHANKU YANG MAHA PENGASIH
SEIRINGKANLAH KAMI DALAM MELAYARI HIDUP
KETEPIAN YANG SEJAHTERA

TETAPI TUHANKU
SEANDAINYA TELAH KAU TAKDIRKAN
DIA BUKAN MILIKKU
BAWALAH DIA JAUH DARI PANDANGANKU
LUPUT DIINGATANKU

DAN PELIHARALAH DIRIKU DAN DIRINYA DARI KECEWA
YA TUHANKU YANG MAHA MENGERTI
BERILAH DAKU KEKUATAN
MELONTAR BAYANGNYA KE DADA LANGIT
HILANG BERSAMA SENJA MERAH DAN DALAM PEKAT MALAM
AGAR AKU RASA BAHAGIA
WALAU TANPA DIRINYA

DAN TUHANKU YANG TERCINTA
GANTIKANLAH YANG TELAH HILANG
TUMBUHKANLAH KEMBALI YANG TELAH PATAH
MESKIPUN TIDAKKAN SAMA DENGAN DIRINYA

JIKA BENAR CINTA INI CINTA SUCI
IA AKAN DATANG DENGAN SENDIRINYA
TETAPI JIKA IA PERGI DAN TIDAK BERKUNJUNG LAGI
MAKA ANGGAPLAH IA TIDAK WUJUD
DARI AWAL LAGI

Syair Asy - Syu’ara
Adakah penyair-penyair kita telah lupa segalanya
Mereka memuja ayat dusta
Menyalin isi kitab jahiliah
Lalu mengarang syair yang ternyata sia-sia
Dunia dan akhirat
(sebahagiannya kerana kejahilan, sebahagiannya kerana keangkuhan).
Wahai penyair, bolehkah membancuh
Suci dan noda dalam satu bajana?
Kalian ingin mewarna langit (yang tinggi)
Dengan warna pelangi (yang pelbagai)…bolehkah?
Kononnya merekalah para intelektual
Cendekiawan dan pejuang.
Mereka membina mahligai indah
Dan memakai kain yang jatuh
Menyeret ke bumi
Hadir di majlis kotor bercampur maksiat
Menerima kalungan anugerah.
Kata kalian, “ini syair agung”
Kata yang dusta, “aku sendiri tak memahaminya”
Bukankah itu kata pujangga jahiliah?
Ini syairnya, rupa cantik tak boleh di nikmati
Lahirnya indah tak dapat dihayati
Bentuknya elok tak boleh di genggami
Isinya lalai lagi melalaikan
Sesat lagi menyesatkan
Juga sulit lagi menyulitkan
Yang tak bererti dan tidak pernah sempurna.
Sesungguhnya di bawah sana lihatlah
Kejahilan,maksiat penindasan wewenang
Apakah mereka tidak perhatikan ataukah tidak nampak?
Hingga mati hati mereka kepada cahaya kebenaran?
Sesungguhnya syair yang paling indah, inilah:
Ketahuilah, selain daripada Allah adalah batil
Dan yang batil itu pasti lenyap.

APAKAH BENAR ENGKAU PEJUANG
Engkau ingin berjuang tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang, menjadi pengikut agak segan
Engkau ingin berjuang, tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang, kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang, masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang, karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang, rumah tangga lintang pukang
Engkau ingin berjuang, diri engkau tidak engkau tingkatkan
Engkau ingin berjuang, disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang, kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang, tetamu engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang, ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang, kekasaran dan kekerasan engkau amalkan
Engkau ingin berjuang, pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang, rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang, iman dan taqwa engkau lupakan
Yang sebenarnya, apa yang engkau hendak perjuangkan…
Firman Allah:
Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. (Surah At Taubah ayat 24)


ENGKAU SANGKA MUSUH MEROSAKKAN ENGKAU
Engkau selalu menyangka orang lain akan merosakkan engkau
Engkau selalu sahaja prejudis dengan musuh-musuh engkau akan membinasakan engkau
Rupa-rupanya musuh-musuh engkau sekali sekala sahaja merosakkan engkau dan orang lain
Adakala engkau yang terselamat daripada kejahatannya.
Tapi engkau samada sedari atau tidak
Setiap hari dirosakkan oleh perkara yang sangat rapat dengan diri engkau
Setiap hari engkau dirosakkan oleh ilmu dan kepandaian engkau
Setiap masa engkau dirosakkan oleh nama, glamour engkau
Sering sahaja engkau dirosakkan oleh harta dan kekayaan engkau
Jawatan dan kekuasaan engkau itulah yang selalu merosakkan engkau
Amanah yang diberikan kepada engkau itulah yang merosakkan engkau
Cara engkau berfikir itulah yang merosakkan engkau
Keyakinan engkau itulah yang merosakkan engkau
Ideologi yang ada di kepala engkau itulah yang merosakkan engkau
Sedang kalau musuh engkau merosakkan engkau, mudah kau sedar
Orang lain merosakkan engkau, cepat engkau dapat mengesannya
Tapi kalau ilmu, harta, pangkat, kekuasaan, nama dan glamour merosakkan engkau
Payah hendak engkau insaf dan sedar
Engkau tidak terasa dirosak olehnya
Engkau rasa itu semuanya adalah kejayaan engkau yang engkau tempa
Di dalam kehidupan engkau, engkau rasa telah berjaya
Kerana itulah payah hendak engkau sedar
Engkau rasa itu adalah satu kejayaan dan bukan kerosakan
Engkau tertipu dalam kehidupan engkau.

Wanita, Sanggup Bermadu?

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… Fatimah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya.
Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah
jalannya. Jalan yangmembawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya.

Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiriperjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah
ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju.

Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,"luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri keranau sahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan, " jawab Fikri.


SEDARLAH SEMUA… KALIAN AKAN DIMADUKAN!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG ISTERI…
TERIMALAH KENYATAAN BAHAWA ANDA AKAN DIMADUKAN, BAHKAN ANDA BUKAN
ISTERI PERTAMA YANG BAKAL DIKAHWINI TETAPI ANDA ADALAH BAKAL ISTERI
KEDUA!!!
 
KERANA ISTERI PERTAMA BAGI SUAMIMU IALAH PERJUANGAN ISLAM!!!
PERKAHWINAN INI TELAH LAMA DILANGSUNGKAN… KEHADIRAN DIRIMU ADALAH
UNTUK BERSAMA BERGANDING BAHU MEMPERJUANG KAN ISLAM BUKAN MENJADI
BATU PENGHALANG PERJUANGAN SUAMIMU…
JANGANLAH JADIKAN DIRIMU SEBAGAI PUNCA SERTA MERENDAHKAN HARGA DIRI
MU DENGAN TERJADINYA PERCERAIAN SUAMIMU DENGAN ISTERINYA YANG
PERTAMA IAITU PERJUANGAN ISLAM!

JIKA DIRIMU BAKAL SEORANG SUAMI…
TERIMALAH BAHAWA ANDA BUKANLAH SUAMI YANG PERTAMA YANG BAKAL
DINIKAHINYA ATAU INSAN YANG PERTAMA YANG DICINTAI DAN DISAYANGI OLEH
BAKAL ISTERIMU!!!
 
BAHKAN DIRIMU ADALAH INSAN YANG KEDUA YANG
DICINTAINYA….
KERANA SUAMI YANG PERTAMA BAGINYA IALAH PERJUANGAN ISLAM DAN MEMARTABATKANNYA…
 
DIA MENCINTAIMU KERANA DIRIMU MENCINTAI ISLAM DAN MEMPERJUANGKAN ISLAM. JIKA DIRIMU TIDAK SEDEMIKIAN… SEKELUMIT CINTA PUN TIDAK AKAN LAHIR DALAM SANUBARI ISTERIMU…

BANTULAH ISTERIMU DAN KUATKANLAH DIA UNTUK TERUSKAN PERJUANGAN…

Sumber: http://rawdha-sakeena.blogspot.com